Selamat Hari Guru & Terima Kasih Cikgu
- Mohd Azimin Che Wil
- May 16, 2016
- 3 min read

Selamat Hari Guru 2016 kepada semua guru di Malaysia tidak kira guru di sekolah, universiti atau guru kehidupan yang ada di sekeliling saya.
Bagi saya guru bukan hanya mereka yang berada di institusi pendidikan yang rasmi sahaja seperti Tadika, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Matrikulasi, Kolej dan Universiti. Malah ianya mencakupi lebih besar daripada itu termasuklah anda semua sahabat-sahabat saya yang telah mengajar erti kehidupan, berkongsi pengalaman dan sebagainya. Walaupun ianya hanya satu ilmu, tapi bila mana saya menggunakannya secara anda sedar atau tidak, anda telah menjadi guru saya. #terimakasihcikgu.
Apabila saya merasakan anda sebagai guru saya dek kerana anda telah memberi saya ilmu walaupun hanya satu, sudah pasti saya juga akan secara automatiknya menjadi guru kepada anda. Mungkin secara saya sedar atau tidak. Mungkin juga secara anda sedar atau tidak.
Segala perkongsian ilmu yang saya kongsikan selama ini kepada anda melalui Media Sosial, Live di Radio TV atau dalam kursus dan Seminar kendalian saya telah menjadikan saya sebagai guru anda. Bukan nama guru yang saya ingin tekankan, cuma apa yang saya ingin tekankan bahawa saya akan bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan di atas ilmu yang telah saya kongsikan kepada anda selama ini. Jadi, sekiranya ada ilmu-ilmu yang dikongsikan selama ini atau selepas ini adalah salah atau boleh membawa kebinasaan, maafkan saya dan jangan amalkan ilmu berkenaan kerana dikhuatiri ia akan dipertanggungjawabkan ke atas saya kelak.
Mungkin ada kekhilafan di dalam penyampaian saya, tetapi ianya bukanlah dirancang malah diluar kesedaran saya sebagai seorang insan bergelar guru.
Kepada guru-guru diluar sana. Anda sedar atau tanpa anda sedar, sebenarnya anda telah menjadi guru. Bukan hanya mereka yang menjawat jawatan guru, malah anda yang tidak memakai tanda nama guru juga sebenarnya adalah guru. Jadi, marilah kita bersama-sama menyebarkan ilmu kepada orang sekeliling kita melalui pelbagai wadah yang ada. Agar budaya mengkayakan ilmu dapat menjadi budaya masyarakat kita.
Tetapi dalam keghairahan kita untuk menyebarkan ilmu dan berkongsi ilmu, kita juga perlu bertanggungjawab di atas ilmu yang disebarkan kerana ilmu yang disebarkan ini jika diamalkan akan membentuk sebuah masa depan buat kita. Anda perlu sedar bahawa ilmu yang diajar dan ilmu yang dikongsikan bukan hanya semata-mata untuk membentuk anak bangsa yang hebat dan cemerlang tetapi jauh daripada itu sebenarnya. Ilmu ini sebenarnya adalah untuk membina sebuah MASA DEPAN ANDA.
Ya!
Masa depan anda sebagai seorang guru. Masa depan anda sebagai seorang insan yang berada di Malaysia. Masa depan keluarga anda.
Mengapa saya berkata begitu?
Anda sedar atau tidak, anda sebagai seorang guru sekarang ini sedang mencipta atau menghasilkan semua lukisan masa depan yang bakal anda lihat dan tontoni setiap masa kelak.
Kalau cantik lukisan anda, maka cantik jugalah hiasan dinding rumah anda dengan lukisan berkenaan.
Kalau kurang sempurna gaya lukisan anda, sudah pasti ia akan menyakitkan mata anda apabila melihatnya.
Nak atau tidak, lukisan ini telah pun dilukis dan ia telah pun digantung pada dinding rumah anda. Jadi, anda mampu membuat keputusan sekarang sebelum lukisan itu dilukis di atas kertas putih.
Adakah anda inginkan sebuah lukisan yang menarik dan sejuk mata memandang atau sebuah lukisan mengerikan yang menjadi igauan anda setiap masa kelak.
Perumpamaan lukisan ini adalah sama dengan usaha kita sebagai pendidik anak bangsa selama ini. Kita jangan terlalu memikirkan yang kita sekarang ini sedang melahirkan seorang yang cemerlang atau yang hebat. Jangan terdetik di minda kita bahawa 'Aku sedang mencipta masa depan orang lain yang mungkin tidak memberi apa-apa kesan kepada aku. Jadi buat apa aku bersungguh'.
Sebenarnya dalam mendidik anak bangsa ini adalah satu usaha kita untuk membina sebuah MASA DEPAN KITA. Ya! MASA DEPAN KITA dan bukannya masa depan orang lain semata-mata. Ini adalah kerana dengan usaha mendidik pelajar-pelajar kita dan orang disekeliling kita, sebenarnya kita sedang menyediakan satu masa depan buat kita.
Kalau baiklah didikan kita kepada mereka, maka baiklah masa depan kita. Kalau tidak sempurnalah didikan kita maka tidak sempurna jugalah masa depan kita.
Sebagai contoh, kalau anak didik kita dididik dengan baik insyallah anak didik berkenaan akan cemerlang dan sudah pasti kecemerlangan berkenaan akan memberi kesan kepada pembangunan ketamadunan negara kita dengan lahirnya cerdik pandai dan para cendiakawan-cendiakawan di sekeliling kita. Tetapi kalau sebaliknya, maka kita akan mendapat kesan sebaliknya.
Ibarat kita dikelilingi oleh saudagar minyak wangi, kita akan terpalit wangian sama. Kalau kita dikelilingi oleh tukang besi, maka kita akan terpalit debu besinya sama.
Jadi, usaha untuk mendidik ini adalah tugas kita semua dan bukannya hanya guru sahaja.
Apa yang penting adalah jaga-jaga di dalam setiap ilmu yang disebarkan dan pastikan ilmu berkenaan benar-benar sahih daripada sumbernya untuk memastikan masa depan kita dikelilingi oleh orang yang memiliki ilmu yang benar sahaja.
Bersungguh-sungguh dalam usaha mendidik adalah sebagai KUNCI UNTUK KITA MEMBINA NEGARA BANGSA.
Selamat Hari Guru Terima Kasih Cikgu.
Perutusan Hari Guru ini dibawakan Khas oleh:
MOHD AZIMIN CHE WIL Perunding Jenama Diri CAC Consultant
Comments